Berpegang kepada prinsip tidak mudah mengaku kalah, sentiasa berusaha,
bersemangat tinggi dan bersikap positif walau diuji pelbagai cabaran
memberi hasil positif kepada pasangan dua beradik ini.
Kedua-duanya mempunyai latar belakang akademik berbeza, tetapi ia bukan
halangan untuk Nor Akmar Hanif, 34, dan Aida Nurlin Hanif, 31, berjaya
dalam bidang saham amanah dan insurans.
Walaupun bermula daripada sifar tetapi hasil daripada berpegang teguh
dengan prinsip yang telah ditetapkan membolehkan mereka meraih pelaburan
bernilai jutaan ringgit pada usia 20-an lagi.
Kini, Nor Akmar dan Aida Nurlin ialah Ketua Pegawai Eksekutif Platinum
Wealth Advisor menerusi jenama Amazing Millionaire Sisters dan disokong
sepenuhnya oleh sebuah bank terkemuka.
Nor Akmar berkata, sejak kecil lagi beliau berminat untuk menjadi ahli
perniagaan berjaya kerana ingin berdikari, selain suka akan cabaran
baru.
“Saya pernah bekerja namun hanya bertahan tiga bulan kerana enggan
terikat dengan peraturan yang merimaskan seterusnya menceburi bidang
perniagaan. Saya mahu bekerja mengikut masa dengan jumlah pendapatan
yang ditentukan saya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian ketika
ditemui di pejabatnya di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Pemegang ijazah kelas pertama dalam bidang Kejuruteraan Sistem Maklumat
di Institut Sains dan Teknologi Universiti Manchester di Britain pada
1999 ini memulakan perniagaan pada usia 23 tahun.
Kemampuannya mengurus dan mengendalikan jualan pelaburan turut
meletakkan dirinya sebagai pengurus agensi kumpulan termuda di sebuah
institusi kewangan terbesar di negara ini.
Malah, beliau mampu memperoleh pendapatan lima angka atau sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan sewaktu berumur 26 tahun.
“Pelaburan seperti ini cuma perlukan modal yang kecil tetapi mampu menjana pendapatan di luar imaginasi kita,” jelasnya.
Bekerja sambil belajar
Nor Akmar turut berjaya membuka agensinya sendiri pada usia 25 tahun.
Tiga tahun kemudian, pada usia 28 tahun, beliau mampu melahirkan
sebanyak 10 Pengurus Agensi Kumpulan (GAMS).
Pencapaian terbesarnya ialah sebagai Ketua Pengurus kumpulan Master
Builder iaitu anugerah yang dimenanginya empat kali berturut-turut.
Anugerah lain ialah Brand Ambassador, Group Agency Manager Platinum,
Top GAM, Master Recruiter, Million Sales Achiever, Million Dollar Round
Table, Anugerah Usahawan Muda Universiti Malaya dan terbaru terpilih
sebagai Ikon Belia Negara.
“Mempunyai semangat kental dan bermotivasi tinggi menjadi prinsip utama
untuk berjaya. Selain itu, sikap mudah belajar, ada semangat berterusan
bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam juga amat penting,” kata anak
ketiga daripada empat beradik ini.
Berkat kesungguhannya itu, maka tidak hairanlah jika wanita bujang ini
berjaya memiliki sebuah Ferarri model California yang dibelinya hasil
daripada titik peluh sendiri.
Bagi Aida Nurlin atau lebih mesra disapa sebagai Elynn berkata, prinsip
utamanya adalah setiap satu-satu pekerjaan mestilah dibuat sehingga
sempurna dan berjaya.
Beliau yang mengikut jejak kakaknya, memulakan perniagaan ketika masih
lagi menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Sains
Aktuari.
Menurutnya, walaupun terpaksa bergelut masa antara belajar dan kerjaya
sebagai perunding kewangan, beliau tetap berusaha untuk menjadi yang
terbaik seterusnya membina kejayaan dalam hidup.
“Untuk maju dalam perniagaan, anda perlu tanam dalam diri bahawa tiada
perkara yang mustahil untuk dicapai. Jika kita tahu cara berniaga yang
betul dan sanggup bekerja keras, insya-Allah kejayaan akan datang kepada
kita,” jelasnya.
Tanam impian
Penglibatan dalam bidang perniagaan sejak masih menuntut, Elynn
mengakui itu membuatkannya menjadi lebih kuat bekerja dan berdisiplin.
“Fokus dalam melakukan apa saja tugasan adalah penting,” tegasnya.
Seperti kakaknya, Elynn juga banyak menerima anugerah dan pencapaian,
termasuk Group Agency Manager Platinin, Master Builder Award, Master
Recruiter dan Million Dollar Round Table.
Sementara itu, dua beradik ini boleh berbangga apabila sudah menerima
lebih 100 anugerah pengiktirafan berikutan prestasi mereka yang
cemerlang sebagai perunding saham amanah.
“Kini, kami semakin aktif membuat program mengasah bakat bagi
melahirkan perunding kewangan berjaya, sekali gus membantu orang lain
mengubah diri mereka menjadi lebih baik. Apa yang lebih membahagiakan,
kami dapat melihat orang bawahan yang kami didik berjaya seperti kami,”
kata Nor Akmar dan Elynn sambil tersenyum.
Sebagai agenda masa hadapan, kedua-duanya menanam impian untuk mencipta
nama dalam bidang insurans bagi mengharumkan nama negara di mata dunia
dengan mencapai Top of the Table (TOT), iaitupenganugerahan di peringkat
antarabangsa.
“Penganugerahan itu belum lagi dicapai oleh mana-mana rakyat Malaysia
sekali pun bidang berkenaan sudah bertapak 60 tahun di Malaysia.
Justeru, kami mahu menyahut cabaran untuk menjadi yang pertama
menerimanya,” kata Nor Akmar.
Link artikel asal: http://www.sinarharian.com.my/rencana/bergelar-jutawan-pada-usia-muda-1.30103
Helping people manage their unit trust investments and insurance protection.
Bisnes Seminar 2015
Ketahui Realiti Perniagaan Terkini "Kenapa Anda perlu Melabur Pada Tahun 2015" daripada MillionaireSisters Bakal d...

-
It was a wonderful session this yesterday morning with christina khoo..if u hv missed out these are the essence of her sharing... Why mdrt? ...
-
From Manan Via His Blackberry: Hai everyone., I would like to share with all of u bout my experience.. Yesterday I went to JB branch at Jln ...