Saturday, November 17, 2012

Kehebatan 2 beradik - Milliionairesister Di Dalam Berita Harian

Kepada para pembaca yang belum membaca artikel mengenai Akmar dan Elynn di dalam Berita Harian, ini merupakan artikel tersebut. Harap pembaca mendapat manfaat daripada artikel berikut.

Ini merupakan link asal artikel terebut: http://www.bharian.com.my/articles/Kehebatan2beradik/Article/

ELYNN (kiri) dan Nor Akmar.
 Bergelar jutawan pada usia muda

MENDEKATI dua beradik, Nor Akmar Hanif dan Aida Nurlin, pasti akan terdetik perasaan kagum apa yang dimiliki mereka. Pertama, pada usia muda, kedua-duanya sudah hidup mewah, hasil titik peluh sendiri.
Hebat sungguh kedua-dua beradik itu apabila berjaya mengutip pelaburan bernilai juta ringgit yang pertama ketika mereka baru berusia 20-an. Nor Akmar dan adiknya, yang lebih disenangi dengan panggilan Elynn, membuktikan tidak sukar bergelar jutawan pada usia masih muda jika ada kesanggupan dan ingin berusaha.


Kedua-duanya cantik, pandai bergaya, dinamik, ramah dan mempunyai perwatakan senang didekati serta tidak bersikap menongkat langit, sekalipun kekayaan dan kejayaan menjadi milik mereka.

Pakej lengkap yang ada pada dua beradik berasal dari Ipoh itu juga boleh membuatkan orang lain mungkin cemburu kepada mereka. Namun, hakikatnya apa yang dimiliki mereka hari ini tidak muncul secara mendadak atau datang bergolek. Ia hasil prinsip dan pendirian kedua-dua beradik itu yang tidak mudah mengaku kalah, sentiasa berusaha, bersemangat tinggi dan bersikap positif walau diuji pelbagai cabaran.

Nor Akmar dan Elynn, juga tidak pernah mengenal erti penat untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan, terutama untuk berada di puncak tinggi dalam bidang kerjaya perniagaan saham amanah dan insurans yang diceburi masing-masing sejak 11 dan lapan tahun lalu.

Muda dan mempunyai semangat usahawan yang tinggi dalam diri sejak usia awal 20-an, membolehkan kedua-dua beradik itu bertapak dan memulakan perniagaan perunding kewangan serta mencapai kejayaan luar biasa dalam tempoh agak singkat.
Menggunakan label jenama, Amazing Millionare Sisters sebagai pengenalan diri, Nor Akmar dan Ezlynn kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat Platinum Wealth Advisors yang disokong sebuah bank terkemuka. Pejabat dua ahli perniagaan muda itu bertempat di Dataran Ara Damansara, Petaling Jaya.

Nor Akmar yang memiliki ijazah kelas pertama dalam bidang Kejuruteraan Sistem Maklumat dari University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom (UK) pada 1999, memulakan perniagaan pada usia 23 tahun.

Beliau berjaya membuka agensinya sendiri pada usia 25 tahun dan pada usia 28 tahun, berjaya menghasilkan 10 Pengurus Agensi Kumpulan (GAMS). Pencapaian tertinggi dicapai ialah sebagai ketua pengurus kumpulan, Master Builder. Lebih membanggakan, anugerah itu dimenangi berturut-turut empat kali dan yang terbanyak.

Anugerah lain dimenangi ialah Brand Ambassador, Group Agency Manager Platinum, Top GAM, Master Recruiter, Million Sales Achiever dan Million Dollar Round Table.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dari dulu lagi dia berminat menjadi ahli perniagaan yang berjaya kerana mahu berdikari selain sukakan cabaran. Namun, ketika itu belum memutuskan bidang perniagaan apakah yang sesuai diceburinya.

Beliau menambah, ketika belajar di UK, tiga doa dititipkan setiap hari iaitu ingin menjadi ahli perniagaan berjaya, mengharapkan kedua ibu bapanya melihat dan merasai kejayaannya serta meraikan dan ingin memberikan sumbangan bakti kepada masyarakat. Hari ini, sebahagian besar daripada doa itu sudah pun dimakbulkan.

“Habis belajar, saya bekerja tetapi ia tidak sampai pun tiga bulan. Saya berhenti dan terus menceburi bidang perniagaan. Memanglah lepas belajar saya tiada modal besar tetapi untuk menceburi bidang ini wang bukan masalah utama kerana ia tidak memerlukan modal besar untuk memulakan perniagaan. Saya juga percaya lebih hebat cabaran itu, lebih besar pulangannya. Maka bidang ini paling sesuai dengan jiwa saya,” katanya.

Walaupun mempunyai latar belakang kelulusan akademik yang berbeza daripada bidang perniagaan, beliau tidak menjadikan ia sebagai penghalang untuk berjaya dalam bidang perniagaan saham amanah dan insurans. Malah, baginya apa saja yang dilakukan ada cabaran tersendiri dan ia terpulang cara menanganinya.

“Sesiapapun tidak harus rasa terikat dengan latar belakang pelajaran mereka. Hanya kerana belajar dalam satu bidang, tidak semestinya tidak boleh berjaya dalam bidang lain yang diminati seperti perniagaan. Prinsip untuk berjaya dalam perniagaan ini ialah semangat yang kental dan motivasi yang tinggi. Selain itu, sikap mudah belajar, ada semangat berterusan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam amat penting,” katanya tidak lokek berkongsi rahsia kejayaan.

Nor Akmar berkata, tiada jalan pintas untuk mendaki kejayaan dan tidak boleh mengharap tuah semata-mata. Justeru, setiap perjalanan hidup harus dihargai sebaik-baiknya kerana ia adalah proses pembelajaran bagi seseorang itu melangkah ke hadapan seterusnya.

Katanya, bagi seorang wanita untuk berjaya lebih hebat lagi, kecantikan luaran belum lagi syarat yang cukup atau jaminan, sebaliknya perlu mempunyai pakej lengkap dalaman dan luaran.

“Mungkin ada berpendapat, wanita jika hendak berjaya dalam bidang ini boleh gunakan kecantikan terutama dari segi pakaian dan solekan. Tidak dinafikan itu penting untuk mendapat kepercayaan orang lain tetapi lebih baik jika ada kecantikan dalaman dan luaran,” kata Nor Akmar sambil menambah bidang perniagaan diceburi banyak membentuk personaliti dan karektor individu.

Sementara itu, Ezlynn yang juga lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari, mula membabitkan diri dalam bidang perniagaan saham amanah ketika masih menuntut di universiti. Seterusnya, melebarkan sayap membabitkan diri dalam bidang insurans.

Semangat yang tidak pernah luntur untuk menjadi terbaik dan membina kejayaan dalam hidup, mendorongnya terus berusaha walaupun terpaksa bergelut masa antara belajar dan kerjaya sebagai perunding kewangan.

Justeru, tidak menghairankan sepanjang masih melanjutkan pengajian, Elynn bukan saja tidak mengharapkan wang daripada orang tua tetapi sudah mampu memiliki kereta Porsche Boxster. Malah, kali pertama anak bongsu dalam beradik ini menerima pendapatan lebih RM10,000 sebulan ialah ketika masih bergelar pelajar.

Elynn berkata, bidang itu terbuka luas dan menyediakan peluang bagi sesiapa saja yang hendak berjaya serta berhasrat memajukan diri sendiri.

“Ketika saya masih belajar dan berniaga, ramai juga rakan lain yang ingin berbuat perkara sama. Tetapi ada yang hanya separuh jalan kerana tidak sanggup memberi komitmen dan berdepan tekanan masa,” katanya.

Beliau menambah, dorongan kakaknya memberikan semangat untuk terus bertahan dan meningkatkan diri tetapi lebih dari itu, dirinya sendiri begitu mencintai bidang perniagaan berkenaan. Lebih-lebih lagi, ia memberikan pulangan lumayan dan menjanjikan masa depan lebih baik.

Katanya, ketika masih belajar dulu, setiap kali ingin berjumpa pelanggan beliau akan memastikan, bangun seawal jam lima pagi. Sebaik saja selesai berurusan, Elynn akan bergegas ke kampus untuk mengikuti kuliah.

“Fokus dalam melakukan apa saja tugasan adalah penting. Apapun, sepanjang memilih kerjaya ini, saya menjalaninya dengan gembira, sentiasa bersemangat dan puas hati. Yang penting, kita perlu ada rasa cinta pada apa yang kita buat,” katanya.

Seperti kakaknya, Elynn juga banyak menerima anugerah dan pencapaian, termasuk Group Agency Manager Platinin, Master Builder Award, Master Recruiter dan Million Dollar Round Table.

Nor Akmar dan Elynn juga bangga sudah menerima lebih 100 anugerah pengiktirafan berikutan prestasi mereka yang cemerlang sebagai perunding saham amanah. Syarikat mereka kini semakin giat membuat program mengasah bakat bagi melahirkan perunding kewangan yang berjaya, sekali gus membantu orang lain mengubah diri mereka menjadi lebih baik.

Melangkah lebih jauh, kedua-duanya berdoa dan menanam aspirasi untuk mencipta nama dalam bidang insurans bagi mengharumkan nama negara di mata dunia dengan mencapai Top of the Table (TOT), penganugerahan di peringkat antarabangsa.

Ketika ini, penganugerahan itu belum lagi dicapai mana-mana rakyat Malaysia sekali pun bidang berkenaan sudah bertapak 60 tahun di Malaysia. Justeru, dua wanita muda itu mahu menyahut cabaran untuk menjadi yang pertama meraihnya.

Untuk berkongsi lagi resipi kejayaan kedua-dua beradik itu, orang ramai boleh menyertai Forum Usahawan Wanita Muda Malaysia (MYFREN), yang bakal diadakan pada 26 dan 27 Oktober depan di Grand Ballroom, Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur.

Forum itu menjadi platform perdana untuk mengumpul pemikiran usahawan dan pemimpin perniagaan serta melahirkan idea inovatif supaya lebih ramai rakyat Malaysia, terutama wanita muda menyertai bidang keusahawanan dan perniagaan.

Bagi yang berminat atau inginkan maklumat lanjut, boleh menghubungi 03-4149 1211 atau 012-3056 100 atau layari www.myfren2010.blogspot.com.

Saling kagum mengagumi

HUBUNGAN Nor Akmar dan Elynn bukan saja begitu akrab seperti isi dan kuku tetapi juga mempunyai banyak persamaan dari segi personaliti dan karakter. Malah, kedua-dua beradik itu juga banyak berkongsi minat yang sama seperti meminati fesyen, suka menari dan mendengar muzik R&B dan hip hop.

Kedua-dua beradik itu juga saling kagum mengagumi antara satu sama lain. Sebagai anak bongsu dan lebih muda empat tahun, Elynn walaupun sudah mempunyai sama kedudukan dengan Nor Akmar, sentiasa dan akan terus menganggap kakaknya itu sebagai mentor.

“Saya memang rapat dengan kakak sejak kecil lagi, malah ketika kakak belajar di UK, saya ketika itu baru habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), duduk bersama kakak di sana. Kakak banyak beri dorongan dan saya suka sikapnya yang berani dan tegas dalam membuat keputusan serta suka membantu orang lain. Misalnya, ketika kakak baru menceburi bidang perniagaan, dia langsung tiada pengalaman dan modal tetapi dengan keyakinan tinggi dia berjaya,” katanya.

Elynn menambah, oleh kerana kedua-duanya mendapat pendidikan di sekolah berasrama penuh iaitu dirinya di Sekolah Tunku Kurshiah manakala kakaknya belajar di Sekolah Menengah Seri Puteri, masing-masing mempunyai sikap berdikari dan bijak membawa serta menyesuaikan diri.

Nor Akmar pula, mengagumi Elynn kerana sentiasa fokus dengan apa yang dibuat dan senang dibentuk serta cepat belajar. Jika individu lain mengambil masa lebih tiga tahun untuk dilatih menjawat Ketua Pegawai Eksekutif, Elynn hanya perlu dua setengah tahun saja untuk mencapai kedudukan itu.

“Saya tidak akan cemburu jika suatu hari nanti, Elynn ‘menewaskan’ dan mendahului saya dalam bidang perniagaan. Malah, sebagai kakak dan guru kepadanya, saya berbangga dan suka serta sama-sama mendoakan kejayaannya. Bagi saya dalam hidup tidak boleh dengki-mendengki,” katanya.

Ditanya, tidakkah mereka berdua pernah bergaduh atau berselisih pendapat, khususnya dalam menguruskan perniagaan, kata Elynn, perkara itu semestinya berlaku tetapi biasanya tidak berpanjangan dan lazimnya, sebagai adik beliau lebih banyak mengalah.

Bercerita mengenai ibu bapa, Nor Akmar dan Elynn mengakui, orang tua mereka banyak memberikan sokongan dan nasihat. Namun, pada awalnya ibu dan bapanya begitu bimbang juga apabila mereka berdua memilih haluan hidup untuk menjadi ahli perniagaan. Ini kerana bapa mereka yang bersara sebagai pegawai kerajaan, berpendapat adalah lebih menjaminkan apabila mempunyai pekerjaan tetap berbanding menceburi bidang perniagaan yang ada risiko.

Beralih mengenai soal jodoh, kedua-dua beradik yang masih solo dan belum mempunyai buah hati istimewa berkata, seboleh-bolehnya mereka ingin mendapatkan pasangan hidup boleh membimbing dan bertanggungjawab.

“Saya tidak nafikan, beberapa tahun sebelum ini tumpuan saya lebih pada kerjaya. Kini, mungkin sudah sampai masanya saya memikirkan ke arah itu. Saya sebenarnya, seorang yang suka duduk rumah dan lazimnya, dari pagi hingga jam lima atau tujuh petang adalah masa saya berjumpa pelanggan.

“Saya sentiasa jaga dan ingin membina imej profesional dengan pelanggan. Sebab itulah, habis kerja terus balik dan jika tidak ada apa-apa saya akan menghabiskan masa di gym di rumah. Tetapi selepas ini, mungkin saya akan lebihkan masa untuk diri sendiri dan ‘mencari’ peluang bertemu,” kata Nor Akmar bergurau.

Elynn turut tersenyum apabila diajukan soalan sama. Dengan nada lembut, akhirnya menjawab, kekuatan wanita itu terletak pada pasangan lelakinya.

“Saya reda dengan ketentuan Tuhan, belum ada lagi jodoh. Tetapi setiap wanita inginkan sebuah keluarga yang bahagia,” katanya.

Nor Akmar mencelah dan berkata, setinggi mana kejayaan wanita itu, mempunyai keluarga bahagia dan zuriat adalah penting,

“Insya-Allah, saya yakin ia (jodoh) akan datang. Saya sudah bersedia fizikal dan mental, cuma buat masa ini, belum ada jodoh lagi. Saya reda dan percaya ia akan datang” katanya sambil melebarkan senyuman penuh bermakna.


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Free Samples By Mail