Seringkali kita berhadapan dengan situasi di mana kita membuat
keputusan berkaitan pembelian atau pembayaran untuk keperluan-keperluan
seperti makan dan minum, bil air ataupun khidmat servis kereta. (Untuk
mengetahui cara membezakan keperluan dan kemahuan sila rujuk kepada
artikel “Pengurusan Kewangan Diri 2: Bagaimana membezakan keperluan dan
kemahuan”.
Dan semestinya setelah mendapat gaji kita akan meletakkan sebahagian
daripada pendapatan sebagai bajet untuk keperluan. Berdasarkan Peraturan
Bajet 50/20/30, sebanyak 50% daripada pendapatan seharusnya digunakan
untuk perbelanjaan keperluan atau “tangki” keperluan. (Untuk penerangan
lanjut tentang Peraturan Bajet 50/20/30 sila rujuk kepada artikel
“Pengurusan Kewangan Diri 1: Pengenalan Peraturan Bajet 50/20/30”.
Namun setelah 50% diletakkan sebagai bajet untuk keperluan, akan timbul persoalan yang agak sukar iaitu:
“Cukup ke tak untuk bulan ni?”
Ada 2 pendekatan untuk menyelesaikan soalan cepu yang tak berapa emas itu:
1. Tingkatkan gaji supaya nilai 50% lebih tinggi
2. Optimakan bajet keperluan 50% itu sebanyak yang boleh
Untuk pendekatan yang pertama, penulis tak dapat nak tolong. Itu anda
sendiri kena kautim dengan bos atau majikan. Dalam aritkel kali ini,
penulis akan membincangkan pendekatan yang kedua. Ini adalah 5 tips
berdasarkan pengalaman hidup sendiri dan juga kengkawan semasa mula-mula
bekerja dulu.
Rancang pembelian
Perasan tak poster-poster tentang promosi atau diskaun barangan
berjenama secara besar-besaran? Selalunya promosi ini muncul mengikut
musim, khususnya hujung tahun. Ini adalah kerana peruncit atau pemborong
mahu menghabiskan stok untuk memberi ruang kepada stok baru. Masa
inilah kita boleh mengambil kesempatan ke atas situasi ini dan membeli
barangan berkualiti dengan diskaun 30%, 50% dan malah ada yang 90%.
Sehingga hari ni penulis masih menumpukan perhatian terhadap promosi
sebegini untuk pembelian baju kemeja dan kasut kulit untuk kerja
pejabat.
Buat pecahan kepada ansuran bulanan
Pecahan ansuran bulanan ini bermaksud perbelanjaan ke atas sesuatu
keperluan dipecahkan kepada 6 atau 12 bulan supaya nilainya menjadi
kecil. Ini khususnya berguna untuk perbelanjaan keperluan yang dibuat
sekali atau 2 kali setahun tetapi nilainya besar. Contohnya, insurans
kereta, ataupun servis kereta. Kita ambil contoh insurans kereta. Untuk
kereta Myvi, setiap tahun kos untuk memperbaharui insurans adalah lebih
kurang RM500. Kalau sekali gus nak keluarkan RM500 memang tak mampu la.
Jadi penulis akan pecahkan RM500 kepada 12 bulan supaya jumlah tabungan
bulanan tidaklah besar sangat. Apabila sampai waktu untuk perbaharui
insurans kereta, duit sudah cukup.
Kurangkan kos-kos tersembunyi
Kadang kala, semasa ingin membuat pembayaran untuk sesetengah keperluan,
tanpa disedari terdapat kos-kos yang tersembunyi seperti kos minyak,
parking dan juga masa terbuang. Ini selalunya terjadi ketika mahu
membuat pembayaran seperti bil elektrik, membaharui lessen memandu
ataupun membeli barangan runcit. Ia adalah baik sekiranya kita
menggunakan perkhidmatan online yang mengenakan yuran yang kecil untuk
memudahkan kita membuat pembayaran seperti ini dan juga menjimatkan masa
untuk membuat aktiviti lain. Kebanyakkan bank sudahpun ada perkhidmatan
ini dan sesetengah pasar raya atau restoran sudah ada perkhidmatan
pembelian online dan hantar terus ke rumah.
Berkongsi kos dengan kawan
Penulis yakin kebanyakkan orang muda bekerja hidup menyewa dengan
beberapa orang kawan di dalam sebuah rumah. Ini adalah peluang yang
terbaik untuk berkongsi kos keperluan. Selain daripada berkongsi bil
elektrik dan air, perggunaan sesama seperti beras atau roti boleh
dikongsi dan dibeli dalam kuantiti banyak supaya dapat harga yang lebih
murah. Ini amat berguna kepada kita yang baru bekerja dan tidak kisah
berkongsi beban hidup dengan member. Di samping mengoptimakan
perbelanjaan keperluan ia juga dapat merapatkan hubungan sesama kawan.
Beli barangan terpakai
Sememangnya tip ini sudahpun wujud dari dulu lagi namun ia masih boleh
digunapakai sekarang. Terdapat ramai orang di luar sana yang ada sebab
tertentu untuk menjual semula barangan yang masih lagi berfungi dengan
baik melalui Car Boot sale, weekend flea market, online dan sebagainya.
Jadi inilah peluang yang baik untuk membantu mengoptimakan bajet
keperluan kita. Bukan susah nak cari barangan terpakai, lebih-lebih lagi
sekarang dengan laman-laman online yang memudahkan pencarian
pemilik-pemilik yang ingin menjual barangan mereka pada harga
second-hand.
Begitulah 5 tips untuk mengoptimakan perbelanjaan keperluan. Diharap
artikel kali ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam pengurusan
kewangan harian anda semua. Penulis yakin selain daripada tips ini ada
lagi tips atau petua yang digunakkan oleh orang ramai. Apa salahnya jika
dikongsi bersama? Jemputlah komen. Sehingga berjumpa lagi di artikel
akan datang.
sumber artikel: http://kopitiamekonomi.com/kopitiam-blog/5-tips-untuk-mengoptimakan-perbelanjaan-keperluan/
0 comments:
Post a Comment